Baru-baru ini keluar satu laporan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang mengatakan bahawa terdapat peningkatan ketara bagi kes penyakit tangan, kaki dan mulut. Kes-kes ini yang dilihat sebagai ancaman kepada kanak-kanak terutamanya bagi kanak-kanak yang dijaga di pusat asuhan kanak-kanak.
Bagi memahami dengan lebih jelas mengenai jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut, berikut adalah 10 perkara yang wajib anda ketahui.
- HFMD sangat MUDAH berjangkit. Enterovirus HFMD dari seorang bayi/pesakit, boleh menjangkiti lima orang bayi/pesakit lain yang terdedah dengannya. Ia sangat mudah merebak di tempat common kanak-kanak/bayi, contohnya di taska, melalui permainan, troli kanak-kanak, meja, kerusi bayi dsb.
- Jangkitan adalah melalui air liur, batuk, droplet pernafasan, dan cecair dari ruam, juga melalui najis. Virus Enterovirus dan Coxsackie yang menjadi punca HFMD boleh hidup di luar badan manusia, bahkan berbulan-bulan lamanya.
- Terdapat laporan mengatakan penggunaan hand sanitizer sahaja adalah tidak cukup untuk menghapuskan virus Coxsackie. Digalakkan untuk mengamalkan kerap membasuh tangan dengan air dan sabun, serta penggunaan bahan pencuci seperti Bleach/Clorox untuk pakaian, alat permainan atau permukaan yang berkemungkinan terdedah. Suhu lebih 42 darjah Celsius sahaja yang boleh menyahaktifkan virus ini.
- Tempoh inkubasi adalah sekitar 3 – 7 hari. Maksudnya, hanya selepas 3-7 hari terdedah kepada sumber jangkitan (eg : budak lain, alat permainan, pakaian etc), barulah simtom akan bermula.
- Simtom bermula dengan demam panas (mencecah 38.5-39 darjah celsius), dan selepas sehari dua demam, barulah ruam-ruam bintik akan mulai muncul. Ruam akan muncul secara berperingkat, eg mula di tapak tangan, kemudian beberapa jam kemudian tapak kaki, kemudian sehari dua baru nampak di mulut, juga boleh di punggung.
- Ruam boleh menjadi gatal. Kebersihan pada kawasan ruam perlu dijaga. Kawasan ruam, adalah kulit yang hilang fungsi defensive, justeru mudah dijangkiti bakteria kedua (secondary bacterial infection). Elakkan dari bayi bermain di tempat kotor, terkena bahan yang boleh membawa bakteria seperti bulu kucing, pakaian yang kotor, karpet, tikar, pasir dan lain-lain.
- Ruam didalam mulut, boleh menjadi oral ulcer. Tompok-tompok ulcer ini, pastinya menyakitkan, dan bayi tidak mampu beritahu yang dia sedang sakit. Tanda-tanda seperti enggan minum, merengek tidak berhenti, adalah petanda bayi dalam kesakitan. Ubat tahan sakit seperti Paracetamol dan Ibuprofen boleh terus diberikan setiap enam jam, tidak semestinya ketika demam sahaja.
- Berikan cecair dalam kuantiti yang sedikit tapi kerap, cecair sejuk boleh membantu, boleh gunakan picagari untuk mudahkan. Contohnya halakan muncung jauh dari kawasan ulcer. Apa jenis cecair pun tak apa, eg: susu, air kosong, jus. Asalkan cecair. Tidak semestinya kena habiskan terus secawan atau sebotol. Tapi kerapkan, contohnya 20ml setiap setengah jam. Sejuk boleh mengurangkan rasa sakit/tidak selesa. Adakalanya doktor akan berikan ubat berbentuk gel atau spray yang boleh mengurangkan rasa sakit.
- Asalkan bayi anda masih boleh minum cecair, dan suhu badannya boleh dikawal, kebiasaannya tidak perlu dimasukkan ke wad. Sebaliknya jika bayi anda kekurangan air, ada simtom dehidrasi, maka bayi anda perlu dimasukkan ke ward dan air akan diberikan melalui suntikan intravena. 10% bayi yang menghidap HFMD perlu dimasukkan ke wad, dari jumlah ini 10% mendapat komplikasi teruk, dan 0.5% boleh meninggal dunia.
- Jangkitan HFMD biasanya akan mengambil masa 7 ke 10 hari untuk betul-betul sembuh. JANGAN bawa anak anda keluar dari rumah, kuarantin adalah wajib kerana ianya sangat mudah berjangkit (rujuk point 1). Bagi pekerja kerajaan, anda boleh dapat cuti kuarantin menjaga anak. Jangan salahguna cuti ini pergi jalan-jalan sana sini, Allah Maha Mengetahui.
- (Extra) Semua jangkitan HFMD wajib dilaporkan oleh pegawai perubatan ke Jabatan Kesihatan Negeri. Pihak jabatan kesihatan akan menghubungi tuan/puan dan mendapatkan maklumat seperti sejarah travelling, tempat taska/pengasuh, dsb. Sila beri kerjasama kepada mereka, kerana data yang mereka kumpul adalah sangat penting bagi mengawal jangkitan dari merebak menjadi epidemik.
Info ini dikongsikan oleh Dr. Mohd Syamirulah Rahim, yang merupakan seorang pegawai perubatan di KPJ Perlis Specialist Hospital. Untuk bacaan tambahan, boleh rujuk posting-posting beliau di Facebook mengenai jangkitan HFMD.