Bagi anak kelahiran Terengganu, mungkin agak familiar dengan telur penyu. Menu yang sangat “rare” dengan harga yang agak mahal. Sebiji telur penyu dianggarkan boleh mencecah RM2.50 keatas.
Tetapi tahukah anda didalam 6,000 sehingga 10,000 ekor anak penyu yang menetas, hanya seekor sahaja yang berpotensi untuk matang dan kembali bertelur selepas 20 tahun?
Bercerita lebih lanjut mengenai penjualan telur penyu di Terengganu ini, berikut adalah perkongsian info yang dijawab oleh Turtle Conservation Society of Malaysia dilaman Twitter mereka. Setiap teks yang diambil diolah semula untuk disesuaikan dalam bentuk artikel.
Q & A
1. Telur-telur penyu di Terengganu dijual secara besar-besaran, tiadakah tindakan undang-undang yang boleh diambil?
Di Terengganu, bab-bab penyu tertakluk pada undang-undang negeri. Hanya telur penyu belimbing sahaja yang dilindungi. Tetapi telur penyu spesis lain tidak dilindungi. Oleh itu, tak salah telur penyu dijual.
2. Kenapa penyu belimbing sahaja dilindungi?
Sebab kerajaan negeri sedar penyu jenis ini akan pupus tidak lama lagi. Akan tetapi apakan daya, usaha perlindungan telah terlambat. Penyu belimbing sudah tidak naik bertelur di Rantau Abang.
3. Mengikut statistik 2 tahun lepas di Pantai Geliga, Kemaman, pantai ini mempunyai pendaratan bertelur yang banyak. Betul ke?
Betul. Tapi itu atas usaha Jabatan Perikanan yang mengutip dan mengeramkan semula telur penyu di sekitar Pantai Geliga. Walaupun lebih kurang 80,000 ekor anak penyu menetas, berkemungkinan besar hanya 8 hingga 10 ekor penyu sahaja yang berjaya bertahan hingga menjadi penyu dewasa.
4. Boleh ke tindakan diambil pada si penjual telur penyu?
Tak boleh, kerana penjual telur penyu tidak bersalah. Telur penyu tidak dilindungi, kecuali telur penyu belimbing sahaja. Akan tetapi sebenarnya telur penyu belimbing pun dah “effectively extinct“. Penyu memang naik bertelur tapi kesemua telur yang ada tidak disenyawakan.
5. Telur-telur yang dijual dipasar adakah fertilized egg (telur yang telah disenyawakan)?
Bila masa telur dikeluarkan daripada sarang, kita takkan tahu sama ada telur itu disenyawakan ataupun tidak. Perkembangan telur hanya dapat diketahui selepas 5 jam.
6. Dengan penjualan telur penyu yang banyak ini, adakah bermakna pelancong sukakan ke telur penyu?
Kami tak rasakan pelancong sukakan telur penyu kerana mereka memang tak suka bila tengok telur penyu dijual dipasar. Kebiasaannya pelancong tak beli atau cuba makan. Kalau mereka beli sekali pun, mereka mungkin tak suka tekstur dan rasa telur penyu. Macam durianlah, mereka kata sangat busuk. Kami pernah terima emel daripada pelancong luar yang meminta “Do something about the turtle eggs in the market“. Kami fikir, yang makan telur penyu ini adalah kebanyakannya orang tempatan dan yang sedikit berumur. Orang-orang muda sekarang terpelajar, sangat progredif dan ambil berat tentang hidupan liar.
7. Sekiranya ternampak penjualan telur penyu, apakah saluran yang betul sekiranya laporan ingin dibuat?
Buat masa sekarang, laporan boleh dibuat secara terus melalui Facebook Menter Besar Terengganu, Dr.Ahmad Samsuri. Dan disertakan bukti-bukti gambar-gambar penjualan telur penyu.
8. Apakah saranan TCS Malaysia kepada kerajaan untuk mengatasi masalah penjualan telur penyu ini, dalam masa yang sama memberi keuntungan kepada pihak negeri?
Sebenarnya kita boleh win-win. Kerajaan haramkan penjualan telur penyu, dalam masa yang sama benarkan beberapa pantai di Kemaman ditukarkan kepada tarikan pelancong. Bawa pelancong tengok penyu bertelur, beri penerangan dan kesedaran. Kutip conservation fees, jana pendapatan. Penyu pun dilindungi.
9. Adakah kita boleh meminta pihak kerajaan menguatkuasakan pengharaman jualan telur penyu tanpa mengira spesis apa sekali pun?
Itu yang telah dibuat sejak tahun 2000-an lagi. Tetapi usaha kami belum berjaya, kutip ikrar dan tandatangan. Ramai diantara kami yang bertungkus-lumus menyelamatkan penyu tapi dalam masa yang sama masih ramai juga yang bersikap ignorant. Malah, akta perikanan dan enakmen penyu Terengganu juga perlu dikemas-kini mengikut peredaran zaman.
Akhir kata, penyu adalah haiwan yang semakin pupus dan ia adalah khazanah negara yang tak dapat diganti semula. Ia sememangnya wajib dilindungi oleh setiap pihak tanpa mengira keuntungan. Jangan biarkan kita yang terlalu mengikut nafsu mengejar keuntungan serta kepuasan yang sementara, kelak generasi akan datang hanya dapat mengenali penyu hanya daripada buku teks sahaja.
Nota: Penjualan telur-telur penyu di Sabah telah diharamkan sejak 1996 dan ianya berjalan dengan sangat baik. Memang tiada telur penyu yang dijual. Sekarang, disebabkan itulah ramai yang melakukan aktiviti diving di Semporna, Sipadan atau mabul berpeluang untuk melihat bermacam-macam hidupan laut termasuk penyu.
You made some really good points on your post. Definitely worth bookmarking for revisiting. Also, visit my website QU6 for content about Cosmetics.