PLUS jalin kerjasama dengan jenama terkenal untuk kemudahan pengguna di R&R


Pengguna lebuh raya PLUS kini boleh menikmati perjalanan lebih santai dan menyeronokkan dengan penambahbaikan yang dilakukan di kawasan Rehat & Rawat (R&R) terpilih. Projek menaiktaraf R&R ini melibatkan pembinaan infrastruktur dengan konsep, rekaan dan tema yang baharu mengikut kehendak terkini dengan rekaan dalaman berkonsepkan minimalis pastinya akan memberikan pengalaman yang baharu apabila pengguna berhenti rehat di kawasan R&R..

Dalam usaha memenuhi kehendak pelanggan, PLUS menjalinkan kerjasama dengan pelbagai jenama besar untuk menawarkan pelbagai variasi dan pilihan makanan dan minuman di kawasan rehat.

Bertempat di Persada PLUS pada 5 Oktober 2018, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah memeterai perjanjian bersama 10 jenama makanan dan minuman terkemuka sebagai salah satu langkah untuk merevolusikan kawasan R&R di lebuh raya dalam memenuhi permintaan dan citarasa pelanggan. Jenama tersebut adalah Starbucks, Krispy Kreme, Harold’s Bread, Mohd Chan, Famous Amos, A&W, Dunkin Donuts, MyNews, Kenny Rogers dan Nasi Kandar Line Clear. Menarik bukan?

Menurut Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail, “Kami perlu mengakui bahawa citarasa pelanggan juga turut berubah dengan peredaran masa. Berdasarkan kepada beberapa kajian pasaran dan kajian pelanggan, kami telah mengenalpasti beberapa segmen pelanggan serta corak atau tabiat perjalanan mereka di lebuh raya. Justeru, strategi kami pada ketika ini adalah memberi fokus terhadap jenama yang mempunyai pengikut yang besar. Bermula tahun ini, kami akan berkolaborasi dengan lebih banyak jenama lain untuk beroperasi di R&R kami.”

PLUS menyedari bahawa medan selera yang biasa bukan lagi menjadi pilihan dan tidak sesuai dengan kehendak pengguna masa kini. Oleh itu, pelbagai inisiatif yang telah diambil oleh PLUS bagi memenuhi kehendak pengguna antaranya melakukan penambahbaikan kawasan R&R, memperkenalkan konsep drive thru, menaiktaraf kawasan permainan kanak-kanak juga mempelbagaikan variasi dan pilihan makanan serta minuman mengikut citarasa pengguna masa kini.

PLUS telah beralih daripada pengendalian lebuh raya kepada penyediaan perkhidmatan. Kini, PLUS sedang dalam proses mentransformasikan R&R sebagai pusat atau hub komuniti di mana boleh dijadikan sebagai tempat berkumpul dan meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan.

PLUS memaklumkan bahawa R&R Rawang (Arah Utara) telah dinaiktaraf di mana kawasan rehat tersebut telah menjalani pengubahsuian rekaan dalaman berkonsepkan minimalis. Pengubahsuaian ini akan turut dijalankan di R&R Machap (Arah Selatan), Gelang Patah (Arah Selatan) dan Restoran Jejantan Sungai Buloh. Projek menaiktaraf R&R pula akan melibatkan pembinaan infrastruktur dengan konsep, rekaan dan tema yang lebih segar selaras dengan tujuan kawasan rehat sebagai tempat melepaskan lelah dalam perjalanan jauh. Antara kawasan rehat lain yang akan turut diberi nafas baru adalah R&R Seremban (Arah Selatan) dan Hentian Sebelah Bukit Gantang (Arah Selatan) yang dijangka akan dilaksanakan pada tahun 2019.

PLUS juga telah memperkenalkan projek perintis pembayaran tanpa tunai menerusi Aplikasi BOOST di R&R Ayer Keroh (Arah Selatan) serta pembayaran tanpa sentuh menerusi Visa PayWave di R&R Dengkil (Arah Utara).

Dengan menambahbaikan yang dirancang dan telah dilaksanakan ini diharapnya dapat memberikan pengalaman yang lebih menarik kepada pengguna dalam meneruskan perjalanan ke destinasi yang dituju.


1 komen

TINGGALKAN MAKLUM BALAS

Sila masukkan komen anda
Sila masukkan nama anda disini