Kinder Joy atau ‘telur kejutan‘ (surprise egg) sentiasa menghantui ibu bapa yang mempunyai anak-anak seawal usia 2-5 tahun. ‘Telur kejutan’ ini berbentuk telur, mengandungi coklat dan juga permainan kecil. Harga pasaran ialah sekitar RM4.50~RM5.50 sebiji. Ianya dijual di kaunter-kaunter kedai serbaneka mahu pun pasaraya-pasaraya besar.
Nampak seperti tiada apa-apa yang menarik dan perlu meresahkan ibu bapa, bukan?
Cuba bayangkan, jika anda mempunyai 2 orang anak. Setiap kali singgah di stesen petrol, mereka ajak ke kedai serbaneka stesen tersebut dan ambil ‘surprise egg’ ini sebiji seorang.
RM5.50 x 2= RM11.00 !
Harga agak tinggi. Anak-anak bukannya makan pun coklat yang disediakan di dalam ‘telur’ tersebut tetapi lebih sukakan ‘feel’ kejutan mainan yang mereka dapat apabila mengopek ‘telur’ itu.
Sebagai ibu bapa, apa yang anda rasa apabila sebahagian telur yang ada coklat dibuang, dan mereka hanya mengambil mainan yang pada kami sangat tidak berbaloi dengan harga yang dibayar. Membazir!
Kami pasti ramai ibu bapa yang pening dengan masalah anak selalu nak beli Kinder Joy ini. Jangan cepat mengalah! Fasa anak usia 2-5 tahun memang begitu. Cuma, sebagai ibu bapa, perlu bijak mencari alternatif untuk mengurangkan kos. Betul tak?
Jika ramai yang mengeluh dengan harga Kinder Joy yang mahal, apa kata ikut cara kami. Gantikan dengan ‘telur kejutan’ yang lebih murah, Surprise Jolly! Oh ye, ini bukan iklan berbayar. Ini adalah perkongsian idea rakyat marhaen yang terperangkap dengan isu anak-bapa.
Harga yang kami dapat untuk sebiji telur Jolly ialah RM1.80. Jauh lebih murah. Dan permainannya juga lebih menarik (pendapat kami).
LEGO look alike! Anda rasa LEGO dan motor tolak kecil, mana yang lebih menarik? :-p
Mana nak dapat Suprise Jolly ni?
Ini anda kena explore sendiri. Rasanya, Jolly ini tidak boleh didapati di kaunter-kaunter kedai serbaneka kerana tempat sebegitu sudah dimonopoli oleh ‘telur kejutan’ yang lebih premium.
Cuba cari di kedai runcit biasa atau pun pasaraya borong seperti GM Klang atau di Chow Kit Road?
RM1.80 vs RM5.50 , mana menjadi pilihan ibu bapa?
Tepuk poket, tanya hati. 🙂