Playstation sememangnya dikenali ramai kerana telah mempunyai beberapa generasi konsol yang sememangnya menjadi pilihan ramai. Konsol terkini mereka yang merupakan PS4 adalah yang tercanggih buat masa sekarang dengan kemampuan untuk bermain secara online, grafik yang lebih real, disamping dapat merakamkan paparan permainan tanpa memerlukan perisian tambahan.
Namun, bagi memastikan generasi sekarang tidak lupa akan konsol-konsol terdahulu yang menjadi kegilaan generasi dulu, pihak Sony kini mengumumkan bahawa mereka akan menghidupkan kembali konsol pertama Playstation dengan keupayaan yang dipertingkatkan.
Dinamakan sebagai PlayStation Classic, tindakan ini dilihat seakan-akan yang telah dilakukan oleh Nintendo bagi konsol NES Mini Classic dan SNES Mini Classic, yang mana melalui konsol-konsol tersebut disertakan permainan terbina.
Difahamkan melalui pelancaran PlayStation Classic ini nanti, pihak Sony menyatakan bahawa konsol ini akan dimuatkan dengan 20 permainan klasik yang mana diantaranya ialah Final Fantasy VII, Jumping Flash, Ridge Racer Type 4, Tekken 3 dan juga Wild Arms. – Senarai penuh permainan pramuat konsol klasik ini akan diumumkan secara rasmi oleh pihak Sony dalam masa yang terdekat.
Dari segi reka bentuk, ia tidak jauh berbeza daripada konsol PlayStation yang pernah dikeluarkan dulu. Namun dari segi saiz, ianya terdapat sedikit perbezaan bilamana saiz PlayStation Classic adalah 45% lebih kecil daripada PlayStation terdahulu.
Selain daripada itu, ia turut dilengkapi dengan dua alat kawalan berwayar dan menariknya ia akan mampu memaparkan resolusi sehingga 720p.
Bagi yang berminat untuk mendapatkan konsol ini, ia akan dipasarkan melalui pengedar rasmi PlayStation Malaysia pada 3 Disember 2018 dengan harga bermula RM429.