Kebiasaannya lagu-lagu yang terdapat dalam Spotify adalah lagu-lagu yang melalui perjanjian persefahaman diantara pemuzik dan syarikat-syarikat rakaman. Melalui syarikat rakaman ini juga mereka akan melalui proses perjanjian dimana apa-apa yang berkaitan dengan hak cipta atau keuntungan akan dikongsi bersama selepas lagu itu dimuat naik kedalam aplikasi streaming popular itu.
Namun, kini Spotify melalui Spotify for Artists melakukan tindakan yang agak drastik apabila mereka mengumumkan telah mengeluarkan kemaskini dalam fasa beta dimana pemuzik indie bakal menerima fungsi untuk menaik muzik mereka secara terus kedalam aplikasi mereka tanpa terikat kepada mana-mana syarikat rakaman lagi.
Menerusi kemaskini ini yang bakal ditawarkan kelak, difahamkan bahawa pemuzik yang memuat naik sendiri muzik mereka akan menerima keuntungan sebanyak 50% daripada setiap lagu yang distrim – yang mana royalti itu kemudiannya akan disalurkan terus ke akaun peribadi mereka pada hujung bulan.
Buat masa ini difahamkan juga tiada sebarang bayaran dikenakan kepada pemuzik dan mereka bebas untuk memuat naik sebanyak mana karya yang dihasilkan tanpa had.
Melalui kehadiran fungsi ini, Spotify berharap akan memberi pemuzik kebebasan yang lebih luas untuk berkarya disamping dapat membantu pemuzik untuk menjana pendapatan yang lebih tinggi dari sebelumnya. Namun, fungsi ini masih di dalam peringkat Beta. Jadi untuk buat pemuzik yang ingin menggunakannya perlu dijemput terlebih dahulu – setakat ini hanya terbuka kepada mereka yang menetap di US sahaja.
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh NYT, sebelum ini Spotify membayar sejumlah royalti sehingga 52% bagi setiap strim kepada syarikat rakaman, sebelum jumlah itu kemudiannya diagihkan oleh syarikat rakaman kepada pemuzik di antara 15-50%.
p.s: Satu khabar gembira buat pemuzik indie. Sekiranya dalam masa beberapa bulan lagi selepas rasminya fungsi ini diumumkan, ianya mungkin akan ditawarkan kepada pemuzik indie tempatan juga. Berdoalah.