Mandi manda dipantai adalah aktiviti yang menyeronokkan lebih-lebih lagi apabila dalam mood bercuti bersama rakan-rakan ataupun keluarga. Akan tetapi pernah atau tidak anda tertelan air laut?
Sejujurnya salah seorang daripada kami di OHSEMPOI amat tidak menyukai moment tertelan air laut ini, kerana kandungan garamnya yang tinggi akan menyebabkan tekak rasa mual semacam bagaikan hendak termuntah apabila air masin laut termasuk dalam mulut.
Buat pengetahuan umum, sekiranya anda tersesat dilautan dan tiada sebarang bantuan yang datang menyelamatkan anda, dinasihatkan untuk tidak minum air laut terlalu banyak sekiranya putus bekalan air. Ini kerana dengan meminum air laut, ia bukanlah bertindak menghilangkan dahaga. Malah mengakibatkan rasa haus itu semakin kuat dan akhirnya memberi kesan yang buruk kepada tubuh badan kita akibat terlalu banyak minum air yang terlampau masin.
Selain daripada tidak menghilangkan rasa dahaga, tahukah anda kandungan air laut juga tidak sebersih yang kita bayangkan?
Berkongsi penemuan seorang jurufoto yang bernama David Liittschwager, dibawah adalah rakaman gambar makro bagi kandungan didalam percikan air laut secara rawak yang diperbesarkan sebanyak 25 kali ganda.
-
Larva ketam
Bersaiz sangat kecil iaitu kurang daripada suku inci dan arthropod ini mempunyai lapisan kulit yang lutsinar, masih belum matang tetapi sudah mempunyai organ-organ dalaman yang boleh dilihat secara jelas.
-
Cyanobacteria
Organisma bergelung ini dikatakan sebagai makhluk primitif di permukaan bumi. Ia adalah organisma pertama yang berevolusi dan ia mampu menggunakan cahaya matahari bagi menghasilkan gula – iaitu suatu proses yang mirip kepada fotosintesis, yang mana proses ini membebaskan oksigen ke dalam lautan.
-
Diatoms
Organisma bersel tunggal yang kecil ini adalah sejenis alga. Mempunyai rupa bentuk seperti kotak yang mana dindingnya adalah sel silika. Apabila ia mati, dinding organisma kecil ini akan tenggelam ke dasar laut, di mana ia berkemungkinan akan menjadi padat untuk membentuk batuan.
-
Copepods
Sejenis zooplankton yang biasa ditemui dan mungkin merupakan hidupan paling penting di dalam lautan kerana ia adalah sumber protein kepada hidupan lain. Berbentuk seperti udang, Copepod juga adalah perenang yang bertenaga. Mempunyai sistem saraf yang hebat dimana ia membantu untuk mengelakkan ia ditangkap.
-
Chaetognaths
Sejenis cacing yang lutsinar dan mampu membesar sehingga 5 inci panjang. Sejenis pemangsa dan merupakan sebahagian besar daripada plankton. Mempunyai sistem sarafnya yang tersendiri, sepasang mata, mulut yang bergigi dan sepasang duri kecil disisi kepala mereka yang bertindak untuk menangkap plankton yang lebih kecil. Sesetengah daripadanya berkemampuan untuk menyuntik racun lumpuh kedalam badan mangsa.
-
Telur ikan
Walaupun ada sesetengah spesis ikan berkemampuan untuk melahirkan anak, akan tetapi kebanyakan spesies ikan-ikan yang lain akan bertelur. Disebabkan bilangan telur bagi setiap ikan yang bertelur adalah terlalu banyak, maka peratusan untuk termakan telur ikan ketika minum air laut adalah sangat tinggi.
-
Cecacing marin
Mirip-mirip lipan yang berbulu, hidupan laut daripada jenis polychaete ini bergerak dengan melonjakkan badannya dengan menggunakan bulu-bulu halus yang terdapat disekeliling badannya.
Menakjubkan betul tak? Ini baru spesimen yang diperolehi daripada percikan air laut secara rawak dan ianya dibesarkan 25 kali ganda dibawah mikroskop. Agaknya kalau ia dibesarkan kepada 100 kali ganda? 500 kali ganda? 1000? 2000? atau 100,000? MashaAllah.. hebatnya ciptaan tuhan.