Selain rambut, gigi juga boleh diibaratkan sebagai mahkota kepada individu. Gigi yang putih sihat sering menjadi impian semua orang, kerana gigi yang sihat ini akan menambah seri wajah seseorang. Namun begitu, walaupun keinginan untuk bergigi putih itu ada dalam diri, malangnya sesetengah orang mengambil sikap mudah dalam penjagaannya lantas menyebabkan ia kelihatan kuning dan kotor.
Sebenarnya, untuk mendapatkan gigi yang putih bersih adalah mudah saja. Langkah-langkahnya adalah seperti berikut.
1. Elakkan minum minuman yang berwarna gelap dan pekat seperti kopi
Walaupun kopi atau teh itu sedap, minuman seperti ini akan membuat gigi kekuningan kerana warnanya akan melekat pada gigi jika tidak dibersihkan dengan serta-merta. Cuba elakkan untuk minum kopi atau teh terlalu kerap kerana ia akan menyukarkan gigi anda untuk kelihatan putih bersih.
2. Tukar berus gigi setiap 2-3 bulan
Berus gigi fungsinya untuk membersihkan gigi. Namun, jika digunakan terlalu lama akan menyebabkan proses membersihkan gigi menjadi kurang efisyen sekaligus tidak bersih sepenuhnya. Tempoh maksimum untuk menggunakan sebatang berus gigi hanyalah 2-3 bulan, selepas itu anda dinasihatkan untuk menukarkannya kepada berus gigi baru. Ini adalah kerana untuk mengelakkan bakteria terkumpul di dalamnya. Walaupun proses ini kelihatan remeh tetapi percayalah, berus gigi sangat penting untuk membuat gigi kelihatan putih bersih.
3. Elakkan merokok
Rokok juga merupakan punca utama kenapa gigi seseorang itu menjadi kuning. Ini kerana nikotin daripada asap yang melekat pada gigi sukar untuk dibersihkan. Oleh itu, sekiranya anda inginkan gigi yang bersih dan cantik, hentikan tabiat merokok. Selain itu, jika anda berhenti merokok anda juga dapat menjimatkan perbelanjaan.
4. Gunakan cairan pencuci mulut tanpa alkohol
Selain memberus gigi. pencuci mulut juga berfungsi untuk membantu membersihkan gigi dan merawat gigi. Untuk menjadikan gigi putih bersih, cuba gunakan pencuci mulut bebas alkohol. Pencuci mulut akan membuang segala tar-tar yang melekat di gigi, manakala bebas alkohol itu berfungsi untuk mengelakkan pengguna daripada terkena kanser mulut.
5. Berus gigi dengan baking soda
Yang terakhir, anda juga boleh menggunakan baking soda untuk memutihkan gigi kerana baking soda mengandungi natrium bikarbonat yang boleh membuat gigi putih bersih. Tetapi, anda tidak boleh menggunakan baking soda untuk masa yang lama kerana baking soda tidak mempunyai fluorida yang bermanfaat untuk mencegah gigi berlubang. Mudah bukan untuk mendapatkan gigi yang kelihatan putih bersih dan sihat?