Walaupun menjadi tulang belakang dalam penyediaan perkhidmatan internet seluruh negara, tidak dinafikan TM agak kebelakang dalam menyediakan kemudahan yang lebih mesra pengguna. Ini dibuktikan dengan kelewatan mereka dalam menyediakan aplikasi layan diri care@unifi bagi menguruskan akaun Unifi.
Menjadi kebiasaan buat pengguna yang melanggan perkhidmatan Unifi sebelum ini, apabila seseorang itu ingin menyemak bil terkini, membayar bil secara online ataupun menghubungi pegawai khidmat pelanggan menerusi fungsi Live Chat, kesemua perkara itu harus dibuat melalui akses ke laman web rasmi TM sendiri iaitu unifi.com.my.
Namun dengan pelancaran aplikasi layan diri ini ianya menjadi lebih mudah, kerana fungsi-fungsi tersebut boleh diakses terus melalui aplikasi ini sahaja.
Sedia untuk digunapakai dengan fungsi sama seperti yang telah disediakan dilaman web rasmi mereka, aplikasi care@unifi ini boleh dimuat turun melalui Google Play untuk pengguna Android manakala untuk pengguna iPhone pula ia boleh dimuat turun melalui Apple App Store.
Akan tetapi perlu dimaklumkan kepada anda semua bahawa aplikasi layan diri bagi perkhidmatan Unifi dan Unifi Mobile adalah dibangunkan secara berasingan. Maka disebabkan itu, sekiranya anda merupakan pelanggan Unifi Mobile, dinasihatkan anda turut juga memuat turun aplikasi yang sewajarnya.