Waktu Bekerja Fleksi (WBF) Untuk Kakitangan Kerajaan Membenarkan Pekerja Pulang Selepas 9 Jam Bekerja


Satu penambahbaikan untuk kakitangan awam apabila Kerajaan mengumumkan akan melaksanakan Waktu Bekerja Fleksi (WBF) bermula 1 Mac 2019 bagi menggantikan Waktu Bekerja Berperingkat (WBP) sepertimana yang diamalkan sekarang.

Melalui surat yang dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam bertarikh 25 Februari 2019, WBF akan dilaksanakan secara rintis terlebih dahulu di semua Kementerian/Jabatan Persekutuan di Wilayah Persekutuan KL & Putrajaya, Perlis, Perak, Selangor, Johor, Terengganu, Sabah dan Sarawak. Jabatan yang terlibat hanyalah Jabatan Persekutuan di peringkat negeri sahaja.

Pelaksanaan WBF membolehkan kakitangan awam hadir dan pulang bekerja mengikut tempoh masa dengan syarat memenuhi tempoh waktu bekerja sehari iaitu selama 9 jam.

Walau bagaimanapun, waktu bekerja paling awal ditetapkan adalah pada pukul 7.30 pagi dan waktu pulang paling awal adalah pada jam 4.30 petang.

Sebagai contoh kakitangan yang hadir ke pejabat pada jam 7.15 pagi, waktu bekerja hanya akan bermula pada jam 7.30 pagi. Bagi kakitangan yang hadir ke pejabat jam 7.42 pagi, waktu pulangnya adalah jam 4.42 petang iaitu memenuhi syarat 9 jam bekerja.

Bagi pejabat yang mempunya perkhidmatan kaunter, Ketua Jabatan perlu memastikan perkhidmatan kaunter adalah tidak terjejas.

Walau bagaimanapun, pelaksanaan WBF ini tidak terpakai untuk semua pegawai yang berkhidmat di sekolah atau institusi pendidikan dan fasiliti kesihatan.


TINGGALKAN MAKLUM BALAS

Sila masukkan komen anda
Sila masukkan nama anda disini