Apple iPhone XS Dan iPhone XS Max Dikuasakan Dengan Cip Pemprosesan A12 Bionic Dan Storan Sehingga 512GB


Selain daripada pengenalan Apple Watch Series 4, pihak Apple hari ini turut memperkenalkan 2 model flagship terbaru iPhone mereka, iaitu iPhone XS (disebut sebagai iPhone Ten “S”) dan iPhone XS Max. Untuk kedua-dua model ini, ia adalah merupakan kemaskini dan naik taraf kepada telefon pintar iPhone X.

Bagi iPhone XS ia hadir dengan paparan skrin 5.8 inci Super Retina yang berasaskan panel OLED. Manakala bagi iPhone XS Max pula, ia ditawarkan dengan skrin berspesifikasi sama namun dengan ukuran yang lebih besar iaitu bersaiz 6.5 inci.

Kedua-dua model ini disertakan dengan fungsi Face ID iaitu sokongan nyah-kunci berasaskan wajah, dan menurut Apple fungsi ini kini mampu berfungsi dengan lebih laju hasil daripada penggunaan algoritma yang telah diperbaharui.

iPhone XS dan iPhone XS Max masing-masing disertakan dengan cip pemprosesan terkini Apple iaitu A12 Bionic yang menggunakan rekaan berasaskan 7nm. Cip ini adalah rekaan hasil gabungan kepada CPU 6 teras dan GPU 4 teras, selain ianya turut dilengkapi dengan teknologi AI, Neural Engine yang lebih pantas dan berkesan.

Melalui penggunaan cip pemprosesan terbaru ini, Apple mendakwa ia menawarkan penjimatan bateri yang lebih lama berbanding iPhone X (iaitu tambahan 30 minit kepada iPhone XS, manakala tambahan selama 1 jam 30 minit iPhone XS Max) disamping ciri-ciri mengakses aplikasi yang 30% lebih pantas berbanding generasi cip pemprosesan yang sebelumnya.

Menambah keberkesanan pengguna mengambil gambar, kamera hadapan iPhone XS dan iPhone XS Max yang disertakan dengan sensor 7-megapixel, serta dwi-kamera belakang yang mengabungkan sensor 12-megapixel bersama 12-megapixel telefoto pula dipadankan dengan perisian kamera yang telah ditambah baik – dimana ia hadir dengan tambahan fungsi kawalan bokeh selepas gambar diambil, Smart HDR yang memberi gambaran yang lebih jelas biarpun diambil tanpa membelakangkan cahaya matahari serta rakaman video 4K dengan sokongan audio stereo.

Dari segi storan pula, iPhone XS dan iPhone XS Max menawarkan sokongan storan terbina sehingga 512GB, sekaligus membolehkan anda merakamkan pelbagai gambar dan video tanpa perlu runsing memikirkan storan yang telah mencapai had maksima.

Akhir sekali, Apple iPhone XS dan iPhone XS Max turut dilengkapi dengan ketahanan air IP68 dan ianya juga hadir dengan sokongan gabungan penggunaan SIM dan eSIM. Namun tertakluk kepada penyedia perkhidmatan, anda mungkin terpaksa menunggu dengan lebih lama sekiranya ingin menggunakan 2 nombor dalam 1 peranti. Pengeluaran Apple iPhone XS dan iPhone XS Max dengan sokongan dwi-SIM hanya terhad untuk pasaran China sahaja.

Seperti biasa penjualan peranti ini di Malaysia akan sedikit lewat tanpa sebarang pengumuman tarikh rasmi diumumkan. Akan tetapi sekiranya anda ingin menjadi yang pertama memilikinya, mungkin anda boleh ke negara-negara yang terpilih pada 21 September ini dengan menyediakan wang yang secukupnya.

Bagi kedua-dua model ini ianya dijual dengan tag harga bermula $999 bagi iPhone XS manakala $1099 bagi iPhone XS Max, dimana ianya hadir dengan 3 pilihan warna; iaitu Space Grey, Silver dan Gold.


TINGGALKAN MAKLUM BALAS

Sila masukkan komen anda
Sila masukkan nama anda disini