Satu demi satu berita yang enak didengar diumumkan oleh pihak TM. Selepas pengumuman naik taraf akaun sesetengah pelanggan sedia ada kepada Unifi Turbo, kini TM memberikan satu lagi perkhabaran gembira dimana pelan Unifi Basic tidak lagi terhad kepada mereka yang berpendapatan isi rumah dibawah RM4500, namun sebaliknya bermula pada 1 September depan pendaftarannya akan dibuka kepada semua pengguna seluruh negara.
Jika sebelum ini juga pendaftaran Unifi Basic memerlukan beberapa dokumen tambahan daripada pengguna seperti slip gaji atau slip Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) untuk mengesahkan pendapatan isi rumah, tetapi dengan pengumuman ini nampaknya ia tidak lagi diperlukan.
Unifi Basic yang menawarkan pelan internet berkelajuan sehingga 30Mbps pada harga hanya RM79 sebulan, adalah berbeza jika dibandingkan dengan pelan-pelan yang lain kerana melaluinya ia hadir dengan had penggunaan maksima sebanyak 60GB data setiap bulan – dimana selepas kuota maksima telah tercapai, kelajuan internet yang disediakan akan dikurangkan kepada 128kbps tanpa disediakan pilihan untuk membeli kuota tambahan.
Walaupun had maksima itu kedengaran kurang menarik, tetapi perlu dimaklumkan bahawa kuota bulanan 60GB yang disediakan bukanlah sesuatu angka yang kecil. Ia ibarat memuat turun 60 buah filem berdefinisi tinggi yang bersaiz 1GB setiap satu, atau memuat turun 12,000 keping gambar bersaiz 5MB setiap satu.
Unifi Basic ini adalah pelan yang sesuai bagi mereka yang mempunyai bajet bulanan yang rendah. Jadi bagi anda yang berminat, boleh membuat pendaftaran melalui TMpoint di seluruh negara bermula 1 September ini.