Oh tidak! Malang berganda buat Apple. Jika sebelum ini masalah yang timbul adalah berkenaan dengan penerimaan liputan LTE dan WiFi yang perlahan terhadap peranti iPhone XS dan XS Max. Kini, berita yang menjadi sebutan ramai pula apabila dikatakan sistem operasi iOS 12 yang baru dilancarkan berjaya digodam.
Penggodaman sistem operasi ini diakui dilakukan dengan jayanya oleh Pandora Labs, iaitu sebuah pasukan bahagian keselamatan sekuriti dibawah syarikat gergasi Alibaba.
Kejayaan godaman ini buat kali pertamanya diumumkan menerusi laman sosial Weibo, yang mana selepas itu menjadi tular di laman Twitter menerusi akaun Yalu Jailbreak (@Yalujb).
Alibaba Pandora Labs has developed a fully untethered jailbreak for iOS 12 within 24 hours of its release. #RETWEET pic.twitter.com/LbztqW8b9w
— Yalu Jailbreak (@Yalujb) September 18, 2018
Berdasarkan video rakaman yang dikongsikan, dapat dilihat bahawa penggodaman sistem iOS 12 ini dilakukan keatas sebuah iPhone X, dan selepas sebuah perisian dipasang ianya dihidupkan menerusi mode “hard reset“.
Selepas dimulakan semula, peranti iPhone X berkenaan mampu diakses tanpa perlu melalui proses nyah-kunci – tidak memerlukan kata laluan ataupun melalui proses pengecaman wajah.
Seterusnya, satu mesej ringkas juga tertera dimana ia tertulis “Your phone is pwned“.
Walaupun berita ini memberi tamparan hebat buat Apple seterusnya merisaukan semua pemilik iPhone yang menggunakan iOS 12, difahamkan bahawa kod godaman ini tidak akan dikongsikan kepada umum.
Ini kerana ujikaji yang dilakukan hanyalah untuk membuktikan bahawa sistem operasi iOS 12 bukanlah yang paling maju dan selamat, walaupun terdapat beberapa fungsi keselamatan yang telah dipertingkatkan berbanding sistem operasi iOS yang sebelumnya.