Pasangan Lesbian Negeri Terengganu Disebat Pagi Tadi


Pasangan lesbian yang dijatuhkan hukuman pada 12 Ogos lalu atas kesalahan cuba melakukan perhubungan seks di dalam sebuah kereta di Dataran Arena Square, Dungun, 1.50 tengah hari, pada 8 April lalu disebat hari ini.

Hukuman yang pertama kali dijalankan di negeri Terengganu itu dijalankan dengan lancar di hadapan 100 orang saksi termasuk ahli keluarga masing-masing, wakil badan peguam, badan bukan kerajaan (NGO) dan wakil media.

Turut menyaksikan hukuman adalah Yang Dipertuan Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali; Pengerusi Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Satiful Bahri Mamat; dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Amzad Hashim.

Tertuduh yang berusia 32 dan 22 tahun tersebut didakwa mengikut Seksyen 30 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang dibaca bersama Seksyen 59 (1) enakmen yang sama kerana musahaqah.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman berkenaan, jika sabit kesalahan.

Sebelum itu, kedua-dua pesalah hadir ke mahkamah secara berasingan pada 8.30 pagi sebelum diarah menukar pakaian untuk menjalani hukuman yang dikendalikan pihak Jabatan Penjara Malaysia. Hukuman dilaksanakan di dalam Dewan 2 Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu.

Hukuman ini tetap diteruskan walaupun sebelum ini ia mendapat bantahan daripada golongan yang memperjuangkan hak golongan ini. Kesalahan yang dibuat adalah serius dan bertentangan dengan fitrah. Hukuman setimpal perlu dikenakan bagi memberi peringatan dan pengajaran kepada pesalah serta masyarakat umum, kata Hakim yang menjatuhkan hukuman.

Menurut saksi yang hadir melihat sendiri hukuman tersebut, rata-rata mereka berpuashati dengan perlaksanaan hukuman yang dijalankan. Ianya jelas mengikut lunas-lunas yang ditetapkan syarak.

Kami berharap kedua-dua pesalah yang dihukum ini insaf dan menjadi insan yang bertaqwa selepas ini. Moga hukuman ini juga menyedarkan masyarakat bahawa jika ia tidak dibendung tidak mustahil kita akan menerima nasib seperti kaum Nabi Lut A.S yang mendapat kemurkaan Allah kerana kelakuan sumbang mereka.


TINGGALKAN MAKLUM BALAS

Sila masukkan komen anda
Sila masukkan nama anda disini