Saman AES Tertunggak Dibatalkan, Akan Kembali DiKuatkuasa Pada September 2018


Salah satu cara mendidik rakyat untuk lebih berhemah dalam pemanduan adalah dengan mengenakan saman. Namun begitu, saman yang pelbagai kadang-kala membebankan rakyat.

Membawa khabar berita gembira dan juga kurang gembira, hari ini Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, membuat satu pengumuman berkenaan dengan isu Automated Enforcement System (AES) yang sering menjadi perbualan hangat.

Sehingga bulan Mei 2018, adalah dimaklumkan bahawa sejumlah 3.1 juta saman AES telah dikeluarkan, yang mana sekiranya setiap bayaran saman itu berjaya dikutip akan mengumpulkan nilai saman sebanyak RM435 juta.

Mengambil insiatif untuk mengurangkan beban rakyat, satu berita gembira diumumkan oleh Kementerian Pengangkutan, dimana tindakan pembatalan saman AES dikuatkuasakan serta merta bagi saman-saman AES yang telah dikeluarkan.

Meskipun ada yang mula gembira dengan berita ini, namun perlu diingatkan bahawa keputusan ini bukanlah bermakna program AES itu sendiri akan dimansuhkan sepenuhnya.

Sebaliknya, bermula pada 1 September 2018, kerajaan akan kembali melaksanakan saman AES dengan lebih tegas mengikut peruntukan perundangan tanpa sebarang pengurangan dan pengecualian – Ini bermaksud, saman sedia ada dibersihkan dan penguatkuasaan baru akan dimulakan semula.

Menerusi pengumuman yang telah dibuat, Anthony Loke menjelaskan lagi bahawa saman berkaitan AES yang dimaksudkan adalah saman yang melibatkan pemanduan melebihi had kelajuan sahaja yang mana buat masa ini had laju yang ditetapkan adalah 110 km/j. Maka, sekiranya pengguna jalan raya mempunyai saman yang berlainan seperti saman trafik, ia tidak termaktub dalam pengumuman ini dan hendaklah dibayar seperti biasa.

Berhubung dengan isu penggunaan dana Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bernilai RM555 juta yang digunakan oleh kerajaan terdahulu untuk mengambil alih 2 syarikat AES bagi menyelesaikan isu ini pula, jelas beliau kabinet kerajaan baharu pagi ini mengambil keputusan untuk membayar balik dana tersebut secara berperingkat.

Ini adalah kerana kerajaan bersimpati serta mengambil kira perkhidmatan serta kepentingan LTAT. Namun ujar beliau, ia akan didahulukan dengan rundingan yang akan dilakukan bersama kementerian pertahanan dan kementerian kewangan.

Walau apa sekalipun keputusan yang dikeluarkan, tujuan sebenar AES adalah untuk mengurangkan kemalangan yang berpunca daripada pemanduan laju. Jadi, beringatlah diluar sana. Pandu selamat, jiwa selamat, duit pun selamat.

Sedikit info tambahan mengenai saman AES:

  • Sejumlah 3.1 juta saman AES telah dikeluarkan sehingga bulan mei 2018
  • Setiap saman bernilai RM150
  • Sehingga kini, sebanyak 659,934 saman AES yang telah dibayar
  • Saman yang telah dibayar tidak akan menerima bayaran balik daripada pihak kerajaan
  • Kerajaan baharu telah memperuntukkan sejumlah RM435 juta untuk menghapuskan saman-saman tertunggak
  • Secara keseluruhannya sebanyak 40 kamera AES telah dipasang seluruh negara

TINGGALKAN MAKLUM BALAS

Sila masukkan komen anda
Sila masukkan nama anda disini