Pemandu Bas Rapid Rempuh Gerai Burger, Dihukum Sebelum Diadili.


Semalam viral di media sosial video sebuah bas Rapid dipandu secara berbahaya dan merempuh beberapa buah kenderaan lain dan dikejar oleh sekumpulan lelaki. Kemudian, bas tersebut berhenti akibat kesesakan trafik. Pemandu bas tersebut dibelasah teruk oleh sekumpulan lelaki tadi.

Di ruangan komen video yang memaparkan peristiwa ini, netizen mula memaki hamun pemandu tersebut yang dikatakan telah melanggar sebuah gerai burger dan juga ibu kepada pemilik gerai tersebut yang mendukung seorang bayi. Makian dan kutukan bertalu-talu dilontarkan kepada pemandu tersebut seolah-olah telah terbukti nyata yang pemandu itu benar-benar bersalah.

Akibatnya, pemandu bas Rapid dikenali sebagai Md Khairol Anuar Mohamad, 32 tahun, berasal dari Pasir Puteh, Kelantan, cedera di bahagian kepala dan berada dalam keadaan separa sedar.

Tidak Pasti Jangan Kongsi.

Kami di Ohsempoi bukanlah ingin menyalahkan sesiapa. Benda sudah lepas. Mujurlah tiada nyawa yang melayang. Cuma, kami ingin mengambil kesempatan untuk menyeru semua netizen supaya lebih bijak untuk berkongsikan sesuatu ‘cerita’. Tidak pasti jangan kongsi.

pemandu bas rapid rempuh gerai burger

Andaikata, pemandu bas Rapid itu didapati tidak bersalah dan cerita yang timbul hanyalah direka-reka, sanggupkah anda semua berdepan dengannya untuk memohon maaf. Kami yakin, mereka yang membelasah tanpa belas kasihan ayah kepada anak kecil ini juga akan berasa amat bersalah kerana bertindak melulu.

Bagaimana pula dengan mereka yang tiada pun di tempat kejadian, tetapi mengambil kesempatan ini untuk sebar dan memaki-hamun pemandu ini secara terbuka? Layakkah kita yang tiada kaitan dengan peristiwa tersebut mengambil kesempatan untuk memijak maruah pemandu itu dan mem’bogel’kan aibnya di ruangan maya tanpa sempadan?

Kita ubah cara kita.

Usahlah kita menghukumi sebelum mengadili.

Biarlah undang-undang yang menentukan, siapa salah, siapa di pihak yang benar.

Pesanan Khidmat Masyarakat Ohsempoi.


TINGGALKAN MAKLUM BALAS

Sila masukkan komen anda
Sila masukkan nama anda disini