Kebelakangan ini tular berkenaan mesej ringkas yang diterima oleh pengguna melalui perkhidmatan sistem pesanan ringkas (SMS) daripada sebuah bank tempatan yang meminta pengesahan sama ada pemilik akaun ingin mengaktifkan perkhidmatan DuitNow atau sebaliknya. Ramai yang menyangkakan bahawa mesej yang diterima itu adalah percubaan menipu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sekaligus melontarkan kecaman terhadap perkara itu.
Walaubagaimanapun, ternyata ramai yang masih belum mengetahui perkara yang sebenar, ini kerana DuitNow adalah ciri terbaru yang diperkenalkan oleh Bank Negara Malaysia melalui bank-bank tempatan bagi menyediakan jalan alternatif untuk pemindahan dana dalam bentuk masa-nyata kepada pengguna tempatan dengan lebih pantas.
DuitNow yang diterajui oleh Paynet, iaitu salah satu agensi yang dimiliki oleh Bank Negara, dikatakan dapat membantu menguruskan pelbagai urusan harian melalui integrasi nombor telefon, nombor MyKad, nombor passport ataupun nombor pendaftaran syarikat ke akaun bank mereka, dan sekaligus mampu menerima bayaran terus ke akaun mereka apabila sesuatu pembayaran dibuat menggunakan nombor-nombor tersebut.
Melalui pengenalan ciri baru ini kepada umum, ia dijangka akan memudahkan beberapa proses pembayaran, termasuklah dalam urusan kerajaan membuat pembayaran kepada rakyat, ataupun dalam situasi yang berbeza turut memudahkan pengguna yang ingin membuat pembayaran kepada sesebuah syarikat (melalui nombor pendaftaran syarikat).
Buat masa sekarang, beberapa bank tempatan telah mulakan menghantar notifikasi pilihan bagi proses pra-daftar untuk perkhidmatan DuitNow, dimana secara automatik sekiranya notifikasi tersebut tidak dibalas sebelum 30 November 2018 ini, akaun bank anda dipautkan terus ke nombor telefon pengguna dan akan diaktifkan sekiranya pengguna memilih untuk berbuat sebaliknya.
Seterusnya, bermula 8 Disember 2018, pengguna boleh mula menggunakan perkhidmatan ini melalui bank atas-talian atau aplikasi mudah-alih bank-bank-bank berkaitan.