Kes penipuan menerusi panggilan telefon atau scam sudah lama berlaku. Cuma dulu mungkin kuantitinya tidaklah banyak seperti sekarang. Dan mungkin dulu kurang laporan yang dibuat oleh mangsa dan tidak banyak pendedahan yang dibuat. Tapi kini nampaknya ia semakin berleluasa.
Saban hari, ada saja berita pengguna menjadi mangsa penipuan melalui telefon oleh individu tidak bertanggungjawab yang menyamar sebagai pihak tertentu, contohnya polis dan pegawai bank. Mereka ini ditipu bukan dengan amaun yang sedikit malah mencecah sehingga puluhan ribuan ringgit.
Ada 2 modus perandi yang dikesan paling banyak digunakan oleh penipu panggilan scam ini:
1. Menyamar sebagai pihak polis, mahkamah, SPRM ataupun kastam
Jika anda menerima panggilan daripada individu yang mengatakan itu adalah panggilan daripada pihak polis, mahkamah, SPRM ataupun kastam dan memberitahu bahawa anda ada terlibat dengan kesalahan jenayah dan anda mungkin akan ditangkap jika tidak ikut arahan segera mereka.
Ataupun lebih teruk lagi individu tersebut mengugut yang anda mungkin ke tali gantung kerana kesalahan berat yang telah anda lakukan.
Jangan takut..! Ini adalah kerana Pihak-pihak di atas tidak akan menelefon dahulu penjenayah untuk memberitahu secara panjang lebar siap dengan arahan tertentu sebelum menangkap mereka.
Lagipun anda tidak pernah buat jenayah tersebut kan? Jadi apa mau takut?
Apa perlu anda buat?
Matikan panggilan telefon tersebut dengan segera. Tak perlu layan apa yang mereka katakan.
Kemudian anda boleh pergi ke balai polis terdekat untuk bertanya tentang dakwaan itu untuk kepastian. Tak perlu takut kerana anda bukan melakukan kesalahan tersebut.
2. Menyamar sebagai pihak Bank Negara ataupun pain-lain bank
Jika anda terima panggilan daripada pegawai bank tak kiralah daripada Bank Negara Malaysia ke atau bank-bank biasa, yang memberitahu anda ada tunggakan kad kredit ataupun tunggakan pinjaman dan seterusnya menyambungkan pamggilan tersebut kepada pihak polis…
Jangan percaya…! Jika anda tidak pernah memohon kad kredit ataupun membuat pinjaman daripada bank-bank tersebut.
Ini adalah kerana ia bukan masalah anda jika ada orang yang menggunakan identiti anda untuk membuat pinjaman bank ataupun memohon kad kredit. Itu adalah masalah bank tersebut yang meluluskan.
Apa yang anda perlu buat?
Matikan segera panggilan telefon tersebut dan teruskan hidup bahagia anda. Berbanggalah kerana anda baru sahaja menjadi pengguna yang bijak.
Applikasi tapis panggilan
Ada pengguna yang lebih advance menggunakan applikasi smartphone untuk menapis panggilan telefon scam ini. Antara langkah yang boleh diambil pengguna telefon pintar ialah dengan menggunakan aplikasi mudah alih yang dapat mengesan nombor panggilan yang tidak diingini.
Satu daripada aplikasi tersebut ialah Truecaller. Aplikasi ini akan memaparkan status atau identiti pemanggil yang dikenal pasti pada skrin pengguna. Oleh itu pengguna boleh memilih untuk menjawab panggilan itu atau menyekatnya.
Sebagai contoh, jika nombor dari luar negara membuat panggilan masuk, ia akan memaparkan lokasi panggilan itu dibuat.
Manakala jika panggilan yang diterima daripada nombor tempatan, aplikasi itu akan memaparkan amaran scam dan tanda warna merah jika nombor tersebut digunakan oleh sindiket penipuan.
Namun pengguna dinasihatkan untuk memilih secara bijak dan pilihan itu adalah di atas risiko sendiri. Ini adalah kerana applikasi-applikasi ini memang boleh menjadi sebagai alat bantuan tetapi ia juga membolehkan maklumat peribadi dimuat naik ke pelayan aplikasi tersebut,.
Jadi setiap aplikasi mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri yang perlu diambil kira setiap pengguna.
Jadi jadilah pengguna yang bijak. Yang pasti jangan cepat percaya akan panggilan dari individu yang tidak dikenali. Jangan sesekali mendedahkan maklumat peribadi jika diminta. Jangan panik. Jika terasa diperbodohkan, terus saja matikan panggilan.