Kami di Ohsempoi pada awalnya agak keliru dan tertanya-tanya apakah benar kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa yang menyatakan Kerajaan tidak akan masuk campur dan tiada lagi ketukan tangkap khalwat di malam hari.
Namun, semalam, beliau menafikan laporan yang mengambarkan bahawa beliau seolah-olah membenarkan perbuatan maksiat dan khalwat.
Mujahid menegaskan, kenyataannya telah disalah tafsir malah beliau menjelaskan bahawa konsep nahi mungkar tidak hanya dilaksanakan dalam bentuk penguatkuasaan semata-mata sebaliknya, menekankan pendekatan dakwah dan pendidikan keluarga sebagai salah satu bentuk tindak balas hidup masyarakat.
Menurutnya dalam artikel yang diterbitkan The Star itu tidak seperti yang dimaksudkannya malah kenyataan seolah-olah berbaur fitnah terhadap dirinya.
“Kenyataan saya dalam temu bual The Star itu, apa yang disebut dalam kepala tajuk itu tidak keluar daripada mulut saya.
“Saya tidak pernah menyebut isu kononnya (operasi cegah khalwat) dihentikan pada waktu malam tidak diketuk pintu. Itu semua adalah tambahan daripada editor yang mengambil rumusan mereka sendiri daripada kenyataan-kenyataan saya, sila rujuk kepada interview di dalamnya yang lebih tepat kepada maksud yang ingin sampaikan,” katanya memetik laporan berita Tv Alhijrah, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut kecewa dengan tuduhan serta sindiran sesetengah pihak bahawa beliau membenarkan maksiat dan perbuatan khalwat malah Mujahid berkata perbuatan itu dilihat satu bentuk manipuslasi terhadap kenyataanya sebelum ini.
Hari ini, kecoh apabila tersiar laporan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, tiada lagi ketukan pintu di tengah malam atau pintu dipecahkan oleh pegawa agama jika mendapat laporan khalwat atau aktiviti yang menyalahi ajaran Islam.
Mujahid bagaimanapun menegaskan beliau akan menjelaskan kenyataannya berhubung penguatkuasaan jenayah khalwat, Isnin ini.
Semoga isu ini ada menemui jalan penyelesaian. Paling penting, isu ini dapat diselesaikan tanpa menjejaskan kualiti agama Islam di Malaysia ini.