Jawapan Kepada Persoalan Puasa Arafah, Nak Ikut Hari Wukuf Di Saudi Ke Nak Ikut Tarikh 9 Zulhijjah Di Negeri Masing-Masing?


Antara puasa yang sangat digalakkan untuk ummat Islam menunaikannya ialah Puasa Arafah. Ia adalah sunnah Rasulullah yang amat besar fadhilatnya. Ia disunatkan pada hari wukur di Arafah ataupun pada 9 Zulhijjah.

Untuk tahun 1439 Hijriah (2018) ini, 9 Zulhijjah jatuh pada esok hari jika anda berada di negara Malaysia.

Puasa Arafah ini adalah amalan yang disunatkan kepada orang Islam yang tidak mengerjakan ibadat Haji pada tahun itu. Antara hadith yang masyhur tentang kelebihan puasa Arafah ialah:

Dari Abu Qotadah, ia berkata bahwa Rasulullah s.a.w bersabda :

صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِى قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِى بَعْدَهُ وَصِيَامُ يَوْمِ عَاشُورَاءَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِى قَبْلَهُ

“Puasa Arafah (9 Zulhijjah) dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun akan datang. Puasa Asyura (10 Muharram) akan menghapuskan dosa setahun yang lalu.”

STATUS: SOHIH
(Muslim no. 1162)

Hari Arafah, 9 Zulhijjah

Puasa hari arafah disunatkan untuk dikerjakan pada hari wukuf di arafah ataupun pada 9 Zulhijjah di negara ummat Islam masing-masing.

Penetapan 9 Zulhijjah ini menjadikan sesetengah ummat Islam menjadi keliru. Ini adalah kerana, 9 Zulhijjah berlaku pada hari yang berlainan mengikut negara masing-masing kerana perbezaan waktu di antara negara serta penetapan tarikh 9 Zulhijjah berdasarkan rukyah dan hisab.

Persoalan yang timbul: Nak berpuasa mengikut hari wukuf di Arafah ke ataupun nak dilakukan pada 9 Zulhijjah di negera mereka..

wukuf di Arafah merupakan syarat wajib ibadat Haji

Ini adalah jawapan kepada kekeliruan mereka:

Bagi orang yang tidak menunaikan haji, berpuasa Arafah adalah mengikut RUKYAH HILAL (melihat anak bulan) negara masing-masing, BUKAN ikut hari wukuf di saudi.

Hadith yang berikut ini menerangkan dengan jelas tentang hal ini:

Dari Ibnu Umar r.a, ia berkata, “Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda :

إِذَا رَأَيْتُمُوهُ فَصُومُوا, وَإِذَا رَأَيْتُمُوهُ فَأَفْطِرُوا, فَإِنْ غُمَّ عَلَيْكُمْ فَاقْدُرُوا لَهُ

“Jika kalian melihat hilal (anak bulan), maka berpuasalah. Jika kalian melihatnya lagi, maka berhari rayalah. Jika hilal tertutup, maka genapkanlah (bulan Sya’ban menjadi 30 hari).”

STATUS : SOHIH
(Muttafaqun ‘alaih @ Bukhari no. 1906 dan Muslim no. 1080).

Maksud hadith ini ialah Hilal (anak bulan) di negeri masing-masinglah yang jadi panduan.

INI DIKUATKAN LAGI dengan riwayat dari Kuraib, bahawa Ummu Fadhl bintu Al Haris r.a pernah memintanya untuk menemui Muawiyah r.a di Syam, dalam rangka menyelesaikan suatu urusan. Kuraib r.a melanjutkan kisahnya, setibanya di Syam, saya selesaikan urusan yang diamanahkan Ummu Fadhl r.a. Ketika itu masuk tanggal 1 ramadhan dan saya masih di Syam. Saya melihat hilal (anak bulan) malam jumaat. Kemudian saya pulang ke Madinah. Setibanya di Madinah di akhir bulan, Ibnu Abbas r.a bertanya kepadaku, “bila engkau melihat hilal (anak bulan)?” tanya Ibnu Abbas r.a. Kuraib r.a menjawab, “Kami melihatnya malam Jumaat.”

“Kamu melihatnya sendiri?”, tanya Ibnu Abbas r.a. “Ya, saya melihatnya dan penduduk yang ada di negeriku pun melihatnya. Mereka puasa dan Muawiyah pun puasa.” Jawab Kuraib r.a
Ibnu Abbas menjelaskan :

لَكِنَّا رَأَيْنَاهُ لَيْلَةَ السَّبْتِ فَلاَ نَزَالُ نَصُومُ حَتَّى نُكْمِلَ ثَلاَثِينَ أَوْ نَرَاهُ

“Kalau kami melihatnya malam Sabtu. Kami terus berpuasa, hingga kami selesaikan selama 30 hari atau kami melihat hilal Syawal.”

Kuraib r.a bertanya lagi, “Mengapa engkau tidak mengikuti rukyah Muawiyah r.a dan puasanya Muawiyah r.a?”

Jawab Ibnu Abbas :

لاَ هَكَذَا أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم

“Tidak, seperti ini yang diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w kepada kami.”

STATUS: SOHIH
(Muslim no. 1087).

Ini menjadi dalil bahawa hilal (anak bulan) di negeri kita tidak semestinya sama dengan hilal (anak bulan) Kerajaan Saudi.

Imam Nawawi r.h membawakan bab untuk hadis Kuraib r.a, “Setiap negeri memiliki (rukyah hilal) penglihatan hilal secara tersendiri. Jika mereka melihat hilal, maka tidak berlaku untuk negeri lainnya.”

Imam Nawawi r.h juga menjelaskan, “Hadis Kuraib r.a dari Ibnu Abbas r.a jadi dalil untuk bab yang disampaikan.

Menurut pendapat yang kuat di kalangan ulamak Syafi’iyah, penglihatan rukyah (melihat anak bulan) tidak berlaku secara umum. Akan tetapi berlaku khusus untuk orang-orang yang terdekat selama masih dalam jarak tidak harus diqasarkan solat.”

(Syarah Sohih Muslim, 7: 175).

Kesimpulannya jelas kat sini. Puasa Arafah adalah mengikut Rukyah Hilal di negara masing-masing BUKAN mengikut hari wukuf di Arafah di Saudi. Moga dengan penjelasan yang kami kongsikan ini dapat menjelaskan kekeliruan semua. Sila kongsikan artikel ini kepada rakan-rakan agar terungkai kekeliruan mereka selama ini.

Jom kita berpuasa besok..!


TINGGALKAN MAKLUM BALAS

Sila masukkan komen anda
Sila masukkan nama anda disini