Larangan merokok di semua premis makanan yang diisytiharkan baru-baru ini telah mendapat banyak respons daripada orang ramai terutama netizen.
Ramai yang bersetuju adalah di kalangan non-smoker ataupun orang yang tidak merokok. Manakala bagi yang merokok pula, rata-rata berpendapat bahawa tindakan ini tidak bagi mereka. Ada yang mengatakan yang kerajaan menafikan hak mereka sebagai perokok.
Apa-apa pun reaksi orang ramai, bermula 12 tengah malam nanti, perokok tidak lagi boleh bebas merokok di semua premis makanan idak kira bertutup, berhawa dingin, atau berkonsep terbuka (open air).
Peraturan ini diwartakan selari dengan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pindaan pewartaan itu dilaksanakan mengikut Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT 2004).
“Ia bertujuan melindungi orang awam daripada terdedah kepada asap rokok.
“Premis itu membabitkan semua kaedah perniagaan tidak kira bertutup, berhawa dingin, atau berkonsep terbuka (open air).
“Pihak Kementerian Kesihatan sentiasa komited bagi memastikan orang awam terutama kanak-kanak, wanita mengandung dan orang tua sentiasa dilindungi daripada bahaya asap rokok,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semoga peraturan baru ini dapat diikuti oleh semua pihak untuk mengelakkan denda yang tak sepatutnya dan untuk memastikan tempat awam sebagai tempat bebas daripada asap rokok