Kerap kali kita melihat telur diletakkan sebagai pelengkap makanan ruji kita, iaitu nasi. Telur, sama ada digoreng, direbus atau dimasak bersama makanan lain sentiasa menjadi pilihan ramai kerana rasanya yang sedap dan sesuai untuk semua peringkat usia.
Namun, begitu ada segelintir ibu bapa yang risau sekiranya anak-anak mereka terlalu bergantung kepada telur sebagai diet utama mereka. Ibu bapa ini beranggapan telur mungkin boleh meninggalkan kesan sampingan yang mungkin memudaratkan anak mereka.
Sebenarnya jika mengikut kajian, telur adalah makanan yang sangat membantu dalam perkembangan anak-anak, ini kerana ia mempunyai kandungan protein yang tinggi.
Menurut Dr.Zubaidi yang popular dengan perkongsian berkenaan kesihatan di laman sosial Facebook, beliau sangat menggalakkan anak-anak kita bersarapan dengan telur. Berikut adalah perkongsiannya;
Telur adalah sumber makanan yang kaya dengan protein penting dan berkualiti. Ia membekalkan asid amino yang tidak dapat dihasilkan dalam tubuh.
Selain itu ia membekalkan beberapa vitamin dan mineral, terutama vitamin A (bagus untuk mata anak-anak kita), vitamin D (bagus untuk tumbesaran dan menguatkan tulang anak-anak kita), choline (bagus untuk meningkatkan kecerdikan minda anak-anak kita dan menguatkan otot-otot jantung), dan selenium (bagus untuk kelenjar tiroid berfungsi dengan baik).
Jika anak-anak kita tiada masalah alahan, telur adalah sarapan yang baik. Boleh diberikan bersama roti, nasi, atau mee.
Berikan sehari sebiji, sama ada diberikan dalam bentuk telur rebus, telur goreng atau telur separuh masak.
Jangan berlebihan.
Galakkan juga pengambilan lemak sihat seperti minyak zaitun dalam pemakanan mereka.