Apple iPhone XR Ditawarkan Dengan Pelbagai Pilihan Warna


Bersama-sama pengenalan iPhone XS dan iPhone XS Max semalam, antara satu lagi model iPhone baru yang dikeluarkan dengan harga yang lebih mampu milik adalah iPhone XR. Telefon pintar ini yang dilihat menggunakan pendekatan pemasaran yang hampir serupa seperti pengenalan iPhone 5C dahulu, hadir dengan pilihan beberapa warna berbeza termasuklah biru, merah kuning dan oren

Walaupun iPhone XR ini hadir dengan skrin bersaiz 6.1-inci, sedikit kekecewaan bagi peminat iPhone apabila Apple dilihat menggunakan panel LCD pada peranti ini. Namun bagitu, menurut Apple penggunaan panel LCD yang dinamakan Liquid Retina Display ini adalah yang tercanggih dan mampu menawarkan ketepatan warna paling tinggi berbanding peranti pesaing lain yang berada di pasaran.

Melihat dari sudut perbezaan berbanding iPhone XS dan iPhone XS Max pula, iPhone XR dilihat menggunakan rekaan kerangka berasaskan aluminium dengan panel kaca dibahagian belakang bagi membolehkan pengguna menggunakan wireless charging.

Manakala untuk rakaman gambar pula iPhone XR menyediakan satu kamera belakang dengan sensor 12-megapixel, dan ƒ/1.8 wide-angle lens, yang mana dalam masa yang sama ia menjanjikan kualiti rakaman video 4K sehingga 60 fps, termasuk kemampuan menghasilkan rakaman bokeh melalui bantuan perisian.

Selain daripada itu, iPhone XR turut menggunakan cip Apple A12 Bionic yang menawarkan kuasa pemprosesan sama seperti iPhone XS dan iPhone XS Max – termasuk dari segi pembelajaran mesin dan kecerdasan buatan (Neural Engine), storan terbina sehingga 256 GB dan lapisan oleophobic yang tahan cap jari. Cuma untuk perlindungan kalis air ia hanya menawarkan perlindungan kalis air IP67.

iPhone XR juga menyertakan sokongan Face ID sama seperti iPhone XS dan iPhone XS Max yang boleh digunakan untuk nyah-kunci berasaskan wajah, juga ianya dilengkapi sokongan tindak-balas haptik sebagai ganti kepada 3D Touch dan turut disertakan sokongan Tap-To-Wake untuk mengaktifkan skrin – bagi menggantikan butang Home.

iPhone XR akan mula dipasarkan pada bulan Oktober ini, dan ianya berkemungkinan bakal memasuki negara jiran terlebih dahulu sebelum Malaysia.


TINGGALKAN MAKLUM BALAS

Sila masukkan komen anda
Sila masukkan nama anda disini