Beberapa bulan dulu Bitcoin merupakan kriptowang yang mempunyai nilai harga yang tertinggi didunia. Diwaktu puncak, harganya pernah mencecah hampir $20,000 untuk 1BTC, sekaligus membuatkan pelbagai jenis syarikat pelombong kriptowang wujud demi menjana keuntungan yang berlipat ganda.
Namun disebalik harganya yang mahal, Bitcoin juga sinonim dengan kenaikan dan kemerosotan nilai harganya. Dan ini bukanlah sesuatu yang baru bagi Bitcoin, kerana kebiasaannya walaupun ia kelihatan jatuh mendadak, ia akan sentiasa mencapai harga tinggi yang baru selang beberapa hari selepasnya. Situasi ini menyebabkan ada yang berpendapat kaedah melombong Bitcoin adalah pelaburan yang baik untuk jangkamasa yang panjang.
Akan tetapi, kesemua tanggapan itu mungkin berakhir apabila bermula pada awal tahun ini Bitcoin mula mengalami penyusutan harga. Dan yang lebih parah apabila baru-baru ini, nilai Bitcoin mengalami kejatuhan nilai yang sangat teruk sehinggakan mencecah kepada $3,800 untuk 1BTC.
Justeru dengan kerugian yang mendadak ini, sekaligus menyebabkan beberapa kilang melombong Bitcoin terpaksa ditutup kerana nilai kriptowang tersebut kini berada di tahap yang tidak mampan. Syarikat-syarikat ini yang terpaksa menanggung kerugian kerana tidak lagi mampu membayar sewa dan bil kuasa yang diperlukan untuk menggerakkan kesemua pelombong-pelombong kriptowang mereka, dan difahamkan mangsa yang paling teruk terkena tempias kejatuhan harga Bitcoin iaitu Giga Watt dari Amerika Syarikat yang terpaksa memfailkan muflis kerana gagal membayar hutang sebanyak $7.0 juta.
Buat masa ini, pakar kriptowang masih tidak mampu memberikan analisa yang hampir tepat akan kenapakah situasi sebegini terjadi. Dan tak mustahil juga harganya akan kekal merudum kerana ramai pelabur diluar sana telah mula takut untuk pisang berbuah dua kali.