Rakyat Jepun sangat bersopan santun dan mempunyai disiplin diri yang kuat. Di Jepun, mereka akan selalu berkata ‘sumimasen’ yang bermaksud maafkan saya dan ‘gomenasai’ yang bermaksud maaf. Mereka akan sentiasa memberi salam antara satu sama lain, bertindak tenang dengan sesuatu keadaan dan sentiasa mengambil berat terhadap orang di sekeliling mereka. Bukan hanya rakyatnya, bahkan kerajaannya juga telah menunjukkan contoh yang baik apabila sangat mengambil berat akan keperluan tetamu yang bakal mereka terima bersempena penganjuran Sukan Olimpik 2020 nanti.
Penganut Islam di Jepun adalah sangat kecil, walau bagaimanapun mereka kini lebih peka dan sensitif dengan keperluan orang Islam yang berkunjung ke negara matahari terbit itu. Ini dapat dilihat melalui usaha mereka menyediakan masjid bergerak sebagai persediaan menerima tetamu dan pelawat bersempena Sukan Olimpik 2020.
Sukan Olimpik 2020 yang akan dihadiri atlet termasuk pengunjung daripada pelbagai latar belakang, Jepun tidak lupa memikirkan para atlet Islam dengan mempersiapkan sebuah ‘masjid bergerak’.
Berdasarkan status akaun Facebook Fukuoka Masjid Al Nour Islamic Center, masjid bergerak itu mampu memuatkan seramai 50 orang jemaah pada satu-satu masa.
Masjid bergerak itu telah diperkenalkan di Stadium Toyota di wilayah Aichi. Kemudahan itu yang dikendalikan oleh Yasu Project Co. Ltd. beroperasi daripada sebuah trak dan dilengkapi dengan kemudahan seperti tempat wuduk serta ruang solat yang selesa.
Dua tahun lalu, Pegawai Eksekutif Korporat Yasu Project, Junya Imamura melawat Masjid Fukuoka bagi membincangkan dan bertanyakan pendapat tentang pembinaan masjid bergerak dari sudut Islam.
“Kami amat menghargai peluang bagi menyumbang kepada projek yang penting ini,” katanya.
Tambah Imamura, ketika jumlah umat Islam di Jepun meningkat, adalah menjadi satu keperluan untuk memperluaskan hospitaliti kepada mereka yang berhasrat untuk beribadat.
Sementara itu, pembinaan masjid bergerak tersebut adalah bertepatan dengan hasrat Jepun menjadi tuan rumah temasya Olimpik Tokyo 2020 dengan menyediakan pelbagai persiapan dan kemudahan khasnya untuk atlet dan pelancong beragama Islam.