Adab berjiran menurut Islam yang perlu kita beri perhatian


Jiran adalah mereka yang tinggal berdekatan dengan kita sama ada bersebelahan atau dalam satu kawasan yang sama. Menurut Ali Ibn Talhah daripada Ibnu Abbas, jiran membawa pengertian hubungan kekeluargaan atau pertalian darah.

Seperti sabda Rasulullah SAW;

“Empat puluh buah rumah tetap sebagai jiran tetangga.” Hadis Riwayat Daud

Ini menunjukkan bahawa walaupun jarak dari rumah seseorang diselangi 40 buah rumah, tetap dikira sebagai jiran tetangga. Dengan itu, setiap individu perlu memelihara hak-hak jiran demi memenuhi tuntutan agama, selain menjaga hubungan silaturahim dan ketenteraman sejagat.

Jadi, bagaimana adab berjiran menurut Islam yang perlu anda tahu? Berikut kami kongsikan sebagai panduan bersama agar kita sama-sama dapat memelihara silaturrahim agar kehidupan lebih harmoni.

1. Tidak Menyakiti Jiran

Sabda Rasulullah SAW; “Tidaklah masuk syurga orang yang tetangganya tidak aman kerana gangguannya.” Hadis Riwayat Muslim

Sebagai jiran, kita mesti menjauhi perbuatan yang tidak disenangi oleh jiran tetangganya. Antara perbuatan yang mungkin pernah kita lakukan adalah membuat bising, membuang sampah ditempat yang tidak sepatutnya, meletakkan barang persendirian di kawasan yang boleh mengganggu laluan dan keselesaan jiran.

2. Menjaga dan Mengambil-berat Terhadap Jiran

“Barang siapa yang menolong saudaranya yang lain maka Allah akan menuliskan baginya tujuh kebaikan bagi setiap langkah yang dilakukannya.” Hadis Riwayat Thabrani

Rasulullah SAW mengingatkan umatnya agar sentiasa mengambil-berat sesama saudara seislamnya. Jika terdapat jiran yang sakit atau ditimpa ujian, ziarahlah mereka dan hulurkanlah bantuan mengikut kemampuan. Selain itu, selalu bertanya khabar akan kesihatan jiran-jiran.

3. Berbuat Baik Dan Memelihara Keamanan Dengan Jiran

“Barang siapa memberikan kegembiraan kepada seorang mukmin, maka Allah akan memberikan kegembiraan kepadanya pada hari kiamat.” Hadis Riwayat Ibnu Mubarak

Muslim yang menyedari serta memahami hukum-hukum agama, pasti orang yang paling baik dalam menjaga hubungannya dengan jiran-jirannya. Bahkan akan sentiasa menghormati dan menimbulkan ihsan apabila berinterasi.
Melakukan kebaikan terhadap jiran termasuklah dengan memberi buah tangan atau bertukar pemberian, sehinggalah kepada ucapan takziah atau tahniah atas apa-apa berita berkaitan.

Lakukanlah perkara dan usaha selagi tidak melanggar akidah dalam berbuat baik kepada jiran tetangga. Jika setiap jiran berusaha untuk menjaga hati jiran masing-masing, pasti kawasan kejiranan tersebut sentiasa aman dan tenang menjalani kehidupan seharian.

4. Memuliakan Jiran
Nabi Muhammad SAW mengingatkan umatnya agar memulia dan menghormati jiran seperti melayan kaum keluarga sendiri. Sabda Baginda;

“Jibril sentiasa mewasiatkan kepadaku supaya berbuat baik kepada jiran sehinggalah aku merasakan jiran itu kerabatku.” Hadis Riwayat al-Bukhari

Perbuatan memuliakan jiran ini termasuklah mengurus dan mengiringi jiran yang meninggal dunia sehingga ke tanah perkuburan.

Islam adalah agama yang sangat menitikberatkan hubungan silaturahim dan pertalian sesama manusia, selain menuntut umatnya bercampur gaul dan bermasyarakat. Dengan itu, menghormati jiran adalah penting demi kebaikan dan persaudaraan.

Ini termasuklah jiran yang bukan beragama Islam sebagai cabang dakwah bahawa Islam adalah agama yang menganjurkan kemesraan dan tidak gemarkan perpecahan.

Oleh yang demikian, jagalah hubungan baik anda dengan jiran tetangga kerana ia bukan hanya dituntut dalam Islam malah kebaikannya juga adalah tidak terbanding. Perlu diingatkan, jika berlaku kecemasan dan kita memerlukan bantuan, jiran adalah individu yang paling hampir dan paling dekat untuk menghulurkan bantuan.


TINGGALKAN MAKLUM BALAS

Sila masukkan komen anda
Sila masukkan nama anda disini