Usia tidak melambangkan kematangan seseorang. Ini dibuktikan apabila seorang remaja berusia 14 tahun melakar sejarah tersendiri apabila menjadi wali kepada 2 orang kakaknya.
Muhammad Amierul Adlie yang merupakan anak lelaki tunggal dari 5 adik beradik telah kematian bapanya pada 28 Ogos lalu akibat kanser. Pesan arwan bapanya supaya mengambil alih tugas sebagai ketua keluarga dipikul sebaiknya walaupun usianya masih muda.
Amierul menjadi wali buat kali pertama untuk kakak ketiganya (Nur Aina Nabihah Basiran) pada 22 September lalu. Pada 29 Septembr 2018, Amierul sekali lagi menjadi wali untuk pernikahan kakak keduanya, Nur Amirah Basiran di masjid yang sama iaitu Masjid Tun Syed Ahmad Al-Haj, Bukit Beruang, Melaka.
Sehari sebelum majlis, dia telah berlatih bagi melancarkan majlis akad. Walaupun pada mulanya agak gugup, dia telah melakukannya dengan baik.
Sebelum itu, pihak keluarga telah merujuk dan mendapatkan pandangan dari Pejabat Agama Islam Melaka dan memaklumkan Amierul memenuhi syarat sebagai wali.
Muhammad Amierul (tengah) diapit dua kakak dan dua abang iparnya dalam majlis resepsi.
Dalam pada itu, ibu Amierul, Rosiah Othman memberitahu dia melahirkan rasa syukur kerana kedua-dua majlis perkahwinan berjalan lancar.
“Saya berasa sebak, terharu, malah gembira kerana Amierul sedia memikul tanggungjawab sebagai anak lelaki tunggal dalam keluarga setelah pemergian bapanya.
“Saya masih dalam tempoh edah dan tidak berada di kedua-dua majlis. Tetapi saya tahu, Amierul telah melaksanakan amanat bapanya dengan baik,” katanya.
Selain menjadi wali, pelajar tingkatan 2 Maktab Rendah Sains Mara, Muar, Johor turut membuktikan kematangannya apabila memandikan dan sembahyangkan jenazah bapanya pada Ogos lalu.