Tragedi gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah dikhuatiri meragut ribuan nyawa selepas pasukan penyelamat kini mula masuk ke kawasan yang musnah teruk akibat bencana itu.
Berdasarkan data Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia, jumlah mangsa yang disahkan terkorban setakat pukul 1 petang (1 Oktober 2018) dianggarkan 844 orang dan angka ini dijangka akan terus meningkat berikutan masih ramai mangsa yang belum ditemui.
Namun terdapat satu kisah tentang salah seorang korban yang bertindak nekad demi menyelamatkan ratusan penumpang penerbangan ID6231 Batik Air di Lapangan Terbang Palu.
Anthonius Gunawan Agung yang merupakan pengawal trafik udara kekal berada di menara kawalan walaupun rakan sekerjanya lari bertempiaran meninggalkan bangunan selepas berlaku goncangan kuat semasa gempa berkekuatan 7.5 menggegarkan Lapangan Terbang Palu.
Gegaran tersebut menyebabkan rekahan besar di landasan yang mana ketika itu sebuah pesawat membawa ratusan penumpang sedang bersedia untuk berlepas.
Anthonius tidak menghiraukan keselamatannya dan terus membantu pesawat tersebut berlepas dengan selamat.
“Batik Air ID6231 was clear for take off” kata Anthonius.
“Thank you for letting me take off. God be with you. Copy. Crew attendant, air flight ready to take off.” Balas Capt. Ricosetta Mafella.
“Safe flight Batik Air… Take Care”. Inilah ungkapan terakhir yang mengakhiri komunikasi bersama kapten penerbangan tersebut di ruang udara.
Dia kemudiannya melompat keluar dari tingkat 4 bangunan menara kawalan dan mengalami patah kaki dan kecederaan dalaman.
Sebuah helikopter dikerah untuk membawa Anthonius ke hospital namun beliau meninggal dunia sebelum sempat bantuan tiba.