Jika anda mengimbau kembali tragedi pilu MH17, pesawat dari Amsterdam ke Kuala Lumpur yang ditembak jatuh ketika melalui ruang udara sempadan Ukraine-Rusia pada 17 Julai 2014 sekali gus mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal, anda pasti akan teringat tentang sekeluarga yang berasal dari Kuching Sarawak yang antara lain turut nahas dalam peristiwa itu.
Mereka adalah Tambi Jiee, 49, dan isterinya Ariza Ghazalee, 46, serta empat anak mereka Muhammad Afif, 19, Muhammad Afzal, 17, Marsha Azmeena, 15, dan Muhammad Afruz, 13.
Ketika nahas mereka sedang dalam penerbangan pulang ke Malaysia selepas Tambi menamatkan perkhidmatan selama tiga tahun dengan syarikat Shell di Kazakhstan.
Setelah 4 tahun berlalu, satu surau telah dibina hasil daripada duit pampasan mereka yang diwakafkan setelah ahli keluarga terdekat sebulat suara bersetuju dengan usaha yang InsyaAllah akan menjadi saham akhirat mereka.
Surau yang dibina dengan kos kira-kira RM3.5 juta itu mampu menampung 450 jemaah pada satu-satu masa. Pembinaan peringkat awal Surau Al-Ghazali merangkumi ruang solat utama, ruang solat wanita, tandas, tempat wuduk, pejabat dan tempat meletak kenderaan.
Surau yang hampir siap dibina di Jalan Depo, Petra Jaya ini diberi nama Surau Al-Ghazali.
Moga usaha ahli keluarga arwah diberkati seterusnya menjadi bekalan arwah di akhirat sana. Aameen..